Lagu Ketuhanan Bukan Dakwah???

Dari Harian Metro (27 Jun 2011)

KUALA LUMPUR: “Tidak pernah wujud dakwah menerusi lagu. Kalau kita boleh berdakwah dengan hanya menyanyi, sudah tentu Rasulullah s.a.w melaksanakannya terlebih dulu,” kata vokalis kumpulan E.Y.E, Izam mengenai segelintir penyanyi nasyid yang sering menggunakan kenyataan mereka berdakwah menerusi lagu ketuhanan.
Izam atau nama sebenar, Mohd Izam Mohd Arshad, 43, berkata ada dua hak yang perlu dilakukan pendakwah iaitu berjumpa orang ramai dari rumah ke rumah mengajak melakukan ibadat dan kebaikan serta berdoa kebaikan pada sepertiga malam menerusi solat tahajud.

“Kemudian ia menjadi hak Allah untuk memberi hidayah, itu usaha dakwah tetapi saya dapati ada penyanyi yang mengatakan dia berdakwah melalui lagu dan ada yang mengeluarkan kenyataan menghina selepas meninggalkan dunia hiburan.

“Saya tidak pernah tinggal dunia hiburan dan masih menyanyi tetapi bukan lagi lagu bertemakan percintaan sesama manusia sebaliknya cinta hamba kepada Allah bagaimanapun ia bukan dakwah. Saya membuat album sebab saya seorang penyanyi dan saya berdakwah mengikut apa yang dilaksanakan Rasulullah iaitu berjumpa orang ramai,” katanya yang menyertai tabligh sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, untuk menarik orang kepada kebaikan memerlukan seorang pendakwah menggunakan pendekatan berlembut dengan menceritakan ganjaran Allah kepada hamba mengikut semua perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

“Tapi saya lihat ada artis yang sekarang ini menjadi pendakwah terus mengeluarkan kenyataan keras dan menghentam, perkara ini menyebabkan orang semakin jauh. Berdakwah kepada orang dilahirkan Islam tetapi tidak menurut ajarannya sangat sukar kerana mereka mempunyai ilmu tetapi lemah iman.


“Kita tidak boleh terus menghukum dengan menceritakan ancaman dan balasan buruk daripada Allah sebaliknya yakinkan orang Allah Maha Pengampun serta Maha Pengasih. Bila iman mereka meningkat baru kita ceritakan sedikit demi sedikit ancaman jika melakukan perkara mungkar.

“Selepas menyertai tabligh, jika saya berjumpa dan mengajak orang ramai melakukan kebaikan bukan untuk orang itu saja tapi menasihatkan diri sendiri supaya melaksanakan perkara sama,” katanya. Izam berkata, walaupun menyertai gerakan dakwah namun kumpulan E.Y.E menerbitkan album terbaru berjudul Nama Mu berkonsepkan ketuhanan yang dijual menerusi laman sosial Facebook.

Ulasan

Kecenderungan masyarakat pada hari ini yang gemarkan kepada hiburan perlu dipandu dengan pengisian yang betul dan tepat dalam mengharungi arus hedonism yang terus berleluasa.

Meneliti perkara ini, nasyid dilihat amat signifikan berperanan sebagai hiburan alternatif yang juga boleh mengajak manusia kepada kebaikan. Prof Dr Ismail al-Faruqi mengatakan, tidak ramai umat Islam yang menyedari akan betapa pentingnya seni suara dan muzik sebagai suatu bentuk seni yang mengungkapkan pandangan alam (world view) Islam dan tentang kemesraan yang terdapat diantara seni tampak dan seni dengar (visual and aural arts) di dalam kebudayaan Islam. Begitu juga tidak ramai yang sedar tentang pentingnya seni dengar digunakan untuk tujuan-tujuan sosial dan dakwah.

Sehubungan dengan itu nasyid yang merupakan salah satu cabang ilmu handasat al-Aswat (seni suara) dan seni dengar yang telah berkembang dengan pesatnya di Nusantara telah menjadi medium dakwah khususnya dalam penghasilan lirik lagu yang mengandungi nilai dalam mendidik masyarakat agar memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, ketaatan kepada Rasulullah S.A.W, menginsafi kebesaran Allah, mengajak manusia menjadikan Sunnah sebagai panduan dan meletakkan kebenaran sebagai pedoman serta kebaikan dan keindahan wasilah dalam mencapai matlamat keredhaan Allah S.W.T.

Nasyid juga telah menjadi medium melestarikan dakwah secara berhikmah, ini selaras dengan maksud Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 135:

“ Serulah kepada jalan Tuhan-Mu dengan penuh hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang baik.”

Hikmah boleh ditafsirkan dengan kata-kata yang lembut, tidak dilakukan secara paksaan dan tidak terkecuali daripada menggunakan kata-kata berseni dan lagu yang meruntun jiwa, yang boleh memberikan kesan mendalam kepada jiwa manusia. Malahan, bantahan dan kritikan sekalipun boleh disampaikan dalam bentuk seni, ini amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu yang turut menghasilkan syair dan pantun bagi tujuan kritikan tajam.

Nasyid juga turut mengajak manusia untuk berzikir kepada Allah S.W.T di mana unsur-unsur zikir dan doa turut menghiasi seni nasyid, disamping dijadikan sebagai kaedah yang boleh membantu memudahkan hafalan Asmaul Husna, nama-nama nabi, sifat-sifat Allah dan Rasul-Nya, dan nama-nama surah yang terdapat dalam Al-Quran. Seni ini juga telah dijadikan sebagai alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Nasyid dan Marhaban, telah menjadi aktiviti alternatif sebahagian remaja Islam masa kini, khususnya dalam mengimarahkan masjid dan surau serta mengisi pelbagai aktiviti hidup dengan perkara yang bermanfaat. Ini dapatkan mengelakkan remaja dari terjebak ke dalam aktiviti gejala sosial yang kian berleluasa.

Nasyid juga telah menjadi medium penyebaran dakwah dalam dunia penyiaran, di mana lagu nasyid telah menjadi salah satu bentuk seni hiburan yang disiarkan di kaca televisyen dan radio, Rancangan Nasyid Minggu (NMI) ini yang diterbitkan oleh Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran JAKIM sejak Mac 2004 menjadi satu pendekatan kepada muda-mudi untuk memilih hiburan yang lebih baik dan bermanfaat. Selain daripada hiburan, rancangan ini juga banyak memaparkan petikan ayat-ayat al-Quran dan Hadith sesuai dengan tema siaran. 

Carta Nasyid Radio IKIM juga turut menjadi siaran hiburan pilihan sebahagian remaja Islam masakini.

Konsert yang berintikan seni Islam seperti Nasyid juga telah dijadikan sebagai ruang kerja amal dan dakwah secara terbuka kepada semua golongan lapisan masyarakat, usaha yang dilakukan oleh Persatuan Penggiat Seni Nasyid Malaysia (PNI) menerusi konsert “ Thousand Faces One Faith” yang membawa maksud “ Seribu Wajah Satu Aqidah” akan menceritakan kehidupan warga Islam yang tergolong dari pelbagai keturunan, bangsa dan budaya.

Konsert yang telah diadakan pada 12 Ogos 2006 itu mempunyai tentatif yang amat menarik sebagai medium dakwah. Konsert itu  dimulakan dengan acara solat maghrib secara berjemaah oleh semua penonton dan  diteruskan dengan Nasyid Asmaul Husna secara koir bersama penonton disamping itu turut disajikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan persembahan video yang menerapkan nilai akidah dan diiringi persembahan nasyid yang menyentuh jiwa.

Perjalanan seni nasyid nusantara tidak terlepas dari tuntutan dan tanggungjawab berdakwah pada jalan Allah . Adalah menjadi tanggungjawab ahli seni untuk terus mengajak manusia kepada kebaikan dengan tidak melupakan etika dan akhlak Islam yang perlu menjadi pakaian diri sepanjang masa agar nasyid mampu menjadi agen yang mengajak manusia kepada amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Sekian.

PS:Diharapkan respon yang baik daripada pembaca...syukran..

0 comments:

Post a Comment

-Assalamualaikum.
-Jika suka entri ini silalah komen dan share ye.
-Pastikan komen anda tiada unsur-unsur lucah dan sensitif.
-Anda bertanggungjawab terhadap komen yang anda post.

Terima Kasih..:-)

 

Nasyid FM

Followers